Zierah cukup tertarik dengan satu artikel di iluvislam.com
Mungkin
ianya ada berkenaan dengan kita semua. Terutamanya dalam mencari jodoh.
Jadi, Zierah rasa tak salah kalau Zierah sharekan artikel ni pada anda semua
terutamanya pembaca blog ni.
Jodoh
adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi
bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT
mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka
untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia
cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama
dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan
fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai
kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak
hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah
ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih
kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara
dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum.
Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia
nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon.
Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi,
apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah
calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun
kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu
ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya.
Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila
berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya.
Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun
kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin
dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang
mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang
penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah
mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia
tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah
silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia
menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia
tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam
agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan
perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia
menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi
milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting
bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak
daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat
lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan
membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap
orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi
supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai
rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di
tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai
antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa
selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding
rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya
dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui
kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh
kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi
kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa
yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini.
Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama
ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah
ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing.
Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan
melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya
tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini
penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika
tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang
memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi
pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa
kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di
kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama
kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun
berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang
surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit",
inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan
kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala
suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai
menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada
siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku
dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita
memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia
menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang
untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila
dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak
menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima
kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup
bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah
kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang
dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin
ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia
juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga
reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan
pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk
kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada
ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh
dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di
pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya,
dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi
atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita
melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan
petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia
pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia
dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan
kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah
kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya
sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
-Artikel iluvislam.com
Jadi, antara sepuluh-sepuluh petanda ni, adakah semuanya ada kena mengena dengan anda? Katakan YA atau TIDAK. hehe
Selamat berbahagia semua:)
0 bunga dan kumbang: